MENU

Sejarah dan Morfologi Bandar Kangar

Menurut sejarah, Bandar Kangar wujud semenjak tahun 1653 apabila Kota Sena dibina sebagai pusat pemerintahan yang didiami oleh Sultan Kedah ke-14 iaitu Sultan Muhyiddin Mansor Shah. Pada masa itu, Kangar merupakan sebuah pengkalan ( pelabuhan darat ) di mana perahu dan tongkang berlabuh khususnya kerana adanya Sungai Perlis yang mengalir melalui Bandar Kangar terus ke Kuala Perlis. Bertempat di pengkalan inilah, para pedagang berjual beli di bawah sebatang pohon tinggi yang merendang di kawasan itu iaitu "Pohon Kangar" yang kemudiannya menjadi asal-usul terbentuknya nama bandar Kangar ini.

Walau bagaimanapun, terdapat andaian lain yang mengatakan bahawa asal-usul nama Bandar Kangar ini diambil dari bunyi sejenis burung iaitu burung helang 'kangor' (Spizaetus Limnaetu), yang banyak berterbangan di kawasan ini pada awal kewujudannya. Perlis pernah berada di bawah pemerintahan Kerajaan Siam, Kerajaan Jepun dan Kerajaan British. Pembangunan fizikal Kangar yang ketara berlaku ketika zaman pemerintahan British yang disebabkan oleh aktiviti perlombongan bijih timah. Ia bukan sahaja membawa kepada pembinaan jalanraya dan kemudahan awam, malah kemasukan buruh Cina untuk mengusahakan lombong bijih timah juga telah mencorakkan penempatan dan perniagaan awal yang moden di Bandar Kangar.

Morfologi Bandar

Pembangunan Bandar Kangar seperti yang dilihat pada hari ini mengambil masa kira-kira 400 tahun untuk berkembang. Pengasasannya sebagai sebuah bandar bermula seperti kebanyakan bandar-bandar lama lain di Malaysia, iaitu di pinggir sungai utama. Sungai Perlis memainkan peranan penting di dalam membentuk petempatan terawal di sini yang dilihat sebagai berpotensi sebagai sebuah pelabuhan darat yang menghubungkan antara Bandar Kangar dengan Kuala Perlis. Perkampungan Melayu seperti Kampung Pengkalan Asam yang wujud sehingga kini dipercayai merupakan petempatan terawal di Bandar Kangar berdasarkan perletakannya di sepanjang tepian Sungai Perlis yang mengalir melalui pusat bandar.

Sekitar tahun 1900, iaitu setelah sumber ekonomi baru ditemui dengan perlombongan bijih timah, rumah kedai yang diperbuat daripada batu dan lebih sempurna mula dibina oleh pedagang Cina di sepanjang jalan utama yang menghubungkan antara Kangar dan Alor Setar, dengan tumpuan di sepanjang Persiaran Jubli Emas. Bertolak dari pembangunan perniagaan tersebut, Bandar Kangar mula berubah menjadi pusat tumpuan aktiviti.

Tempoh sebelum merdeka menyaksikan pembinaan Derma English School pada 1948. Pada tahun 1970-an ketika Kerajaan Malaysia mula membangun, lebih banyak bangunan kerajaan telah dibina dan menguatkan lagi fungsinya sebagai pusat pentadbiran dan ibu negeri. Dari waktu tersebut hingga ke hari ini, tren pembangunan mula mengarah keluar daripada Jalan Kangar-Alor Star.