SUMBER BAHAGIAN HASIL , JABATAN PERBENDAHARAAN
TAHUKAH ANDA ?
Jika anda hanya seorang penyewa rumah/bangunan tersebut, apa harus anda lakukan ?
Anda dikehendaki mengemukakan bil-bil kepada pemilik untuk bayaran segera. Jika pemilik gagal menjelaskan bil-bil tersebut, harta alih anda di dalam bangunan itu akan ditahan, oleh itu anda boleh melindunginya dengan membayar sewa kepada MPK.Ps. sehingga tunggakan dijelaskan. Peruntukan Seksyen 151 (6) , Akta Kerajaan Tempatan melindungi anda sebagai penyewa.
Apakah yang harus anda lakukan apabila anda ingin membeli sebuah rumah / tanah kosong ?
Buat semakan dahulu di pejabat MPK.Ps. nama yang didaftar dan tunggakan yang ada bagi rumah / tanah tersebut untuk mengelakkan anda menyesal di kemudian hari. Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan 1976, menegaskan bahawa semua kadar ( tunggakan ) adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya. Anda dinasihatkan supaya menyemak dahulu perkara ini dengan peguam atau agen pengurusan yang menguruskan urusniaga harta tersebut untuk menentukan tunggakan telah dijelaskan oleh pemilik sebelumnya.
Jika pertukaran hakmilik berlaku seperti membeli / menjual / mewarisi rumah, harta, lot kosong, apakah yang perlu dilakukan ?
Sila maklumkan kepada MPK.Ps. dengan mengisi borang notis pindah milik ( Borang I ) harta berserta dengan lain-lain dokumen berkaitan seperti salinan geran, kad pengenalan, bil cukai terbaru yang telah dibayar, dalam tempoh 3 bulan selepas pindahmilik dilakukan. Jika gagal, pihak MPK.Ps. boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 160 (6) Akta Kerajaan Tempatan, iaitu anda boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-dua sekali.
Jika rumah / bangunan anda kosong tidak didiami, bolehkah anda mendapatkan pelepasan / pengurangan kadar taksiran ?
Kadar taksiran anda boleh dikurangkan dengan syarat anda memberi notis secara bertulis kepada MPK.Ps. mengenai kekosongan itu dan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di bawah Seksyen 162, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Anda juga perlu memberitahu MPK.Ps. jika bangunan / rumah tersebut telah diruntuhkan, musnah atau dipindahkan ke tapak lain.
Bagaimana untuk menjelaskan Cukai Taksiran jika anda tidak berkemampuan membayar sekaligus ?
MPK.Ps. akan menimbangkan untuk bayaran dibuat secara ansuran bulanan.
APA ITU CUKAI TAKSIRAN ?
Cukai taksiran ialah bayaran cukai yang dikenakan ke atas pegangan harta berkadar yang terletak di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar ( MPK.Ps. ) :
-
Rumah Kediaman
-
Harta Perusahaan Kilang
-
Harta Komersil ( Kedai,Hotel,Kompleks Dan Sebagainya)
-
Tanah Pertanian
-
Tanah Kosong
Formula Pengiraan = Nilai Tahunan x Kadar
TUJUAN CUKAI TAKSIRAN DIKENAKAN
Membiayai kos operasi, pengurusan perkhidmatan dan pembangunan yang dijalankan oleh pihak MPK.Ps. untuk kemudahaan dan keselesaan penduduk di kawasan MPK.Ps. Ini adalah sesuai dengan objektif MPK.Ps. itu sendiri iaitu :
-
Menjadi badan perancang, membangun, menyelenggara dan mentadbir kawasan.
-
Penggerak perubahan dan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan tempatan melalui perkhidmatan yang cekap dan berkesan penduduknya.
Bagaimana Cukai taksiran dikira ?
Cukai taksiran dikira sama ada menurut nilaian pegangan berpandukan keluasan, jenis atau sewa yang dibayar bagi pegangan berkenaan.
PEMBAYARAN
Bil-bil taksiran dikeluarkan dua kali setahun iaitu :
-
Bulan Januari bagi bil penggal pertama ( Jan-Jun ) perlu dibayar sebelum 28 Februari
-
Bulan Julai bagi bil penggal kedua (Julai -Dis ) perlu dibayar sebelum 31 Ogos
Tindakan MPK.Ps. Jika Cukai Tidak Dibayar
Cukai itu akan dikira sebagai tunggakan dan pemunya pegangan boleh diambil tindakan seperti berikut :
-
Notis dalam Borang E akan dikeluarkan kepada pemunya / pemilik pegangan dengan memberi tempoh 15 hari dari tarikh notis diserah supaya tunggakan tersebut dijelaskan. Bayaran tambahan sebanyak lebih kurang 2% akan dikenakan menurut Seksyen 147 (1) Akta 171.
Jika masih gagal menjelaskan selepas tamat tempoh 15 hari yang ditetapkan, waran tahan akan dikeluarkan. Waran ini membolehkan MPK.Ps. menahan harta-harta alih yang terdapat dalam pegangan itu atau menutupnya dari menjalankan operasinya dan melelong apa-apa harta alih itu melalui perintah Pendaftar Mahkamah Tinggi. Bayaran waran tahanan sebanyak 10% juga akan dikenakan ( Seksyen 148 dan 151 Akta 171 )
Cukai taksiran yang gagal dibayar ditetapkan akan dikeluarkan notis tuntutan ( borang E ) |
|
Amaun Tunggakan |
Denda |
Kurang Daripada RM150.00 |
RM4.00 |
Melebihi RM150.00 - RM250.00 |
RM8.00 |
Melebihi RM250.00 - RM600.00 |
RM12.00 |
Melebihi RM600.00 |
RM10.00 bagi setiap tambahan RM100.00 atau sebahagian daripadanya |
DENDA BAYARAN LEWAT
Jumlah Wang Yang Belum Dibayar |
Denda Yang Dikenakan |
Kurang daripada RM 300.00 |
RM0.00 |
Melebihi RM 300.00 hingga RM500.00 |
RM10.00 |
Melebihi RM 500.00 |
RM50.00 |
Bayaran sepenuhnya hendaklah dijelaskan dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis tuntutan dikeluarkan. Jika tidak, waran penahanan akan dikeluarkan dan kos tahanan sebanyak 10% akan dikenakan. Waran tahanan ini membolehkan Majlis menahan mana-mana harta alih yang terdapat pada pegangan tersebut.
Jika notis Tuntutan ( Borang E ) disampaikan bayaran sebanyak RM 3.00 bagi tiap-tiap satu notis dikenakan.
Jika tidak menerima bil cukai taksiran
Datang sendiri ke bahagian cukai taksiran MPK.Ps. untuk mendapatkan bil-bil tersebut. Sila berikan maklumat seperti berikut untuk kemudahan :
-
Nama
-
Nombor rumah dan kedudukan harta / pegangan
-
Nombor akaun ( jika ada ; atau kemukakan bil lama untuk rujukan )
Untuk mengelak dari diambil tindakan
Cukai taksiran hendaklah dibayar segera sebelum 28 ( 29 ) Februari dan 31 Ogos setiap tahun. Anda bukan sahaja terlepas dari tindakan menurut undang-undang, anda juga tidak akan dikenakan denda lewat lebih kurang 2% dari jumlah cukai taksiran yang tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.
Jika hendak membeli rumah / tanah di kawasan MPK.Ps.
Semak dulu dengan MPK.Ps. nama penuhnya dalam daftar MPK.Ps., tunggakan cukai taksiran bagi rumah / tanah untuk mengelak dari penyesalan di kemudian hari. Seksyen 146 dan 160 Akta 171 menyatakan bahawa kadar (tunggakan) telah dijelaskan oleh pemilik sebenar hingga kemaskini.
Jika berlaku pertukaran milik pegangan
Sila beritahu MPK.Ps. dengan segera dengan menggunakan Borang I dan J dalam tempoh 3 bulan selepas jualan atau pindahmilik. Jika gagal, MPK.Ps. boleh mengambil tindakan menurut Seksyen 160 (6) Akta 171.
Pelepasan Cukai Taksiran bagi pegangan yang kosong
Cukai taksiran ke atas pegangan yang kosong boleh dilepaskan dengan syarat pemohon dapat membuktikan perkara-perkara berikut :
-
Memberi notis tertulis dalam tempoh 7 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku
-
Bahawa bangunan itu adalah dalam keadaan baik dan layak untuk diduduki
-
Bahawa segala usaha yang munasabah telah dibuat untuk mendapatkan seorang tenan
-
Bahawa sewa yang diminta adalah sewa yang munasabah
Walau bagaimanapun, cukai taksiran bagi pegangan itu hendaklah dijelaskan terlebih dahulu dan pemunya hendaklah melaporkan kekosongan itu dalam tempoh 7 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku. Tuntutan pulangan balik hendaklah dibuat dalam tempoh sebulan selepas 30 Jun atau 31 Disember bagi mana-mana tempoh yang berkenaan ( Seksyen 162, Akta 171 ) dengan syarat perkara di atas dipatuhi. Pemunya hendaklah memberitahu MPK.Ps. jika bangunan tersebut telah :
-
Roboh atau hendak dirobohkan
-
Diubah atau hendak diubah ke tempat lain
-
Musnah oleh kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain
Tidak mampu membayar cukai taksiran sekaligus
Jika pemunya tidak mampu untuk membayar cukai / tunggakan sekaligus, sila datang sendiri ke Bahagian Cukai Taksiran, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis untuk berbincang dengan pegawai yang berkenaan. MPK.Ps. sedia untuk membantu menyelesaikan apa jua masalah cukai taksiran yang dihadapi oleh pemilik pegangan dalam kawasan MPK.Ps.