Langkau ke kandungan utama
Anda di sini

Semua staf yang bekerja di bawah sektor kerajaan diwajibkan memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Ia merupakan baju rasmi yang perlu dipakai pada hari tersebut. Manakala pada hari-hari yang lain, staf perlu memakai pakaian yang formal, kemas dan sopan.

 

Kod Etika

Sebagai kakitangan yang mendokong dan menyatakan dasar-dasar kerajaan, adalah penting bagi semua penjawat awam di Negeri Perlis menumpukan segala khidmat bakti secara kolektif, bersifat amanah, telus, bertanggungjawab serta berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kepentingan rakyat, negeri dan negara.

Kod Etika Perkhidmatan Awam Negeri Perlis adalah satu garis panduan secara dasar kepada semua penjawat awam untuk melaksanakan tanggungjawab selaras Surat Aku Janji yang telah ditandatangani. Kod Etika adalah penting kerana akhlak dan sebarang tindakan penjawat awam samada secara rasmi atau peribadi akan mencerminkan kewibawaan pentadbiran Kerajaan dan mempunyai impak yang sangat besar kepada masyarakat, negeri dan negara.

Penjawat awam yang sedang berkhidmat adalah pelaksana dasar-dasar Kerajaan hendaklah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sesuai dengan kehendak dan ekspektasi rakyat yang semakin sofistikated dan berpengetahuan, menjaga nama baik individu dan kerajaan serta tidak terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah, unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa.

Dalam konteks ini kejujuran, dedikasi dan integriti adalah menjadi tonggak penting Kod Etika Perkhidmatan Awam Negeri Perlis yang turut menetapkan prinsip-prinsip penting Rukun Negara, Tonggak Dua Belas, Penerapan Nilai, Norma dan Etika Perkhidmatan dan lain-lain perkara yang terkandung di dalam Perintah-Perintah Am Bab A hingga Bab G.