Skip to main content
You are here

Kandungan

Kandungan

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis, Tuan Haji Affendi Rajini Kanth, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bandar Pintar, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis Bilangan 1/2024 yang telah diadakan pada 7 Jun 2024, bertempat di Dewan Mesra, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada semua pengarah atau wakil jabatan, unit dan pejabat cawangan, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis; serta ahli jemputan daripada Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang diwakili oleh Puan Rohazila Binti Abd Rahim; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Perlis diwakili oleh Encik Mohd Izwan Bin Ismail dan Pejabat Projek Zon Utara, PLANMalaysia diwakili oleh TPr. Hairulliza Binti Abdul Rahman.  

Di dalam mesyuarat tersebut telah mengesahkan Terma Rujukan Penubuhan Jawatankuasa Bandar Pintar, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis, serta membincangkan beberapa agenda pelaksanaan bandar pintar di peringkat Majlis termasuklah tindakan-tindakan persiapan Majlis dalam memohon Penarafan Bandar Pintar Malaysia Tahap 1 'Smart City Early Adopter' pada tahun ini. Penarafan ini akan ditutup pada 15 Julai 2024 dan keputusannya akan diumumkan semasa Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan dalam bulan November 2024.

Sebagai makluman tambahan, Jawatankuasa Bandar Pintar Majlis Perbandaran Kangar, Perlis, ini akan bertindak sebagai jawatankuasa yang menerajui perancangan dan hala tuju pembangunan bandar pintar di Majlis Perbandaran Kangar, Perlis, ke arah menyokong pencapaian matlamat pembangunan bandar pintar di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Justeru, adalah diharapkan penubuhan jawatankuasa ini dan permohonan Penarafan Bandar Pintar Malaysia Tahun 2024 yang sedang diusahakan akan dapat merancakkan lagi usaha pendigitalan dan pembudayaan teknologi pintar di Negeri Perlis untuk manfaat rakyat dan semua pihak berkepentingan.