Langkau ke kandungan utama
Anda di sini

PERMOHONAN PELAN  KEBENARAN MERANCANG  
SUMBER  JABATAN PERANCANGAN DAN PEMBANGUNAN

Apa itu Kebenaran Merancang?

Berdasarkan Kamus Dewan, definasi Merancang ialah Mengatur, Mempersiapkan atau Mempertimbangkan sesuatu perkara untuk menjadikan ianya lebih elok / baik.  Manakala definasi kebenaran ialah izin yang diberi untuk melakukan sesuatu perkara.

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), apabila seseorang itu ingin menjalankan apa-apa pemajuan, ia perlu memperolehi kebenaran merancang  dari pihak Berkuasa Perancangan Tempatan iaitu dalam kes Negeri Perlis daripada MAJLIS PERBANDARAN KANGAR, PERLIS.  Kebenaran Merancang memberi seseorang itu kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan yang bertindak sebagai pihak berkuasa kawalan pemajuan untuk menjalankan sesuatu pemajuan mengikut pelan dan syarat-syarat kebenaran yang menentukan di antara lain, cadangan penjajaran, lebar dan aras jalan-jalan dan lorong-lorong belakang, cadangan ketinggian, rekabentuk, saiz, kegunaan bangunan, anjakan bangunan, ketumpatan/nisbah plot unit kediaman dan perdagangan atau lain-lain bangunan.  Lain-lain cadangan kegunaan tanah dan peruntukan-peruntukan utiliti kawasan lapang rekreasi, pusat rekreasi, pusat komuniti, sekolah dan lain-lain cadangan kemudahan yang mana perlu dan lain-lain syarat untuk pembangunan yang teratur.

Mengapa Kebenaran Merancang Diperlukan?
Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta  172), Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan adalah diberikuasa untuk bertanggungjawab dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan serta penggunaan semua tanah dan bangunan yang terletak di dalam bidang kuasanya. Ini adalah untuk memastikan supaya semua pemajuan dan penggunaan tanah oleh seseorang individu dan pemaju-pemaju akan dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak menyebabkan masalah pencemaran dan kacauganggu, kesesakan lalulintas dan tambahan beban infrastruktur, kehilangan nilai/ameniti, banjir dan lain-lain kesan yang tidak diingini kepada kejiranan dan persekitaran dan juga memastikan pemajuan baru adalah pada sesuatu tahap yang baik untuk didiami.  Sebelum pemberian kebenaran merancang kepada sesuatu cadangan pemajuan, Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan harus mengambilkira semua perkara yang perlu untuk perancangan yang berkesan.  Ini adalah untuk memastikan cadangan pemajuan tidak menyebabkan masalah persekitaran yang tidak diingini termasuk kesan sosial dan ekonomi serta mematuhi piawaian dan garis panduan perancangan.  Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu mengambilkira peruntukan-peruntukan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang telah disediakan, sedang disediakan atau akan disediakan (Seksyen 22).  Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu juga menyemak agar cadangan pemajuan mempunyai akses yang baik dan mematuhi semua syarat dan batasan hakmilik tanah begitu juga dengan lain-lain kehendak perundangan.

Bila Kebenaran Merancang Diperlukan?
Kebenaran Merancang perlu dipohon dan diberi kelulusan sebelum apa-apa pemajuan dijalankan.  Definasi `pemajuan' adalah mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa dan ianya adalah luas dan meliputi:-

  1. Kerja-kerja bangunan ( Perobohon / pembinaan )

  2. Kerja-kerja Kejuruteraan, termasuk pembentukan tanah dan pembinaan jalan

  3. Kerja-kerja perlombongan

  4. Kerja-kerja perindustrian

  5. Membuat perubahan material mengenai penggunaan mana-mana tanah atau bangunan

  6. Pindaan besar terhadap bangunan

  7. Memecah sempadan atau mencantum tanah

Bagaimana untuk mendapatkan Kebenaran Merancang?

Permohonan Kebenaran Merancang hendaklah dikemukakan mengikut cara yang ditentukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (Am) 1994 melalui Unit Pusat Setempat, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis mengikut senarai semak yang telah disediakan.

Siapakah pihak yang layak mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang?

Permohonan Kebenaran Merancang hendaklah dikemukakan oleh Jururancang Bertauliah atau Akitek Bertauliah berdasarkan keluasan tapak cadangan.  Pihak Jururancang atau Akitek hendaklah mampu menasihat pemaju / individu bukan sahaja dari segi proses permohonan kebenaran merancang tetapi yang lebih penting adalah dari segi pemilihan pelbagai alternatif pemajuan tanah dan membolehkan pemaju / individu membuat keputusan ke atas alternatif yang paling baik serta membantu dalam memastikan semua kelulusan yang diperlukan di bawah peruntukan Undang-undang yang lain seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Balik Tanah, Akta Jalan, Parit dan Bangunan dan Akta Alam Sekeliling serta pelbagai Undang-Undang kecil yang lain boleh diperolehi tanpa apa-apa halangan sebelum memulakan pemajuan.

Berapa lamakah Tempoh Sah Kebenaran Merancang?

Suatu kebenaran merancang, jika tidak dilanjutkan akan luput dalam tempoh 12 bulan.  Sekiranya pemajuan masih belum dimulakan, pemaju boleh mendapatkan perlanjutan kepada kebenaran merancang dengan mengemukakan permohonan perlanjutan melalui Borang B sebelum luputnya kebenaran merancang.  Perlanjutan boleh diberikan dengan dikenakan bayaran mengikut kiraan yang ditetapkan.

Apa perkara yang perlu dilakukan selepas memperolehi Kebenaran Merancang?
Pemajuan tidak boleh dimulakan dengan serta-merta selepas mendapat kelulusan kebenaran merancang kerana pemaju / pemohon melalui perunding yang dilantik masih perlu mendapatkan kelulusan-kelulusan lain seperti berikut:

  1. Pelan Kerja tanah

  2. Pelan Jalan dan Perparitan

  3. Pelan Pembetungan

  4. Pelan landskap

  5. Pelan Bangunan dan permit untuk memulakan kerja pembinaan dan bangunan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan

  6. Pelan Pecah Sempadan

  7. Lesen untuk perindustrian, perdagangan, pertubuhan makan dan lain-lain untuk memulakan aktiviti

Apakah denda yang dikenakan bagi Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang?
Denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan sekiranya kesalahan itu diteruskan denda tambahan sehingga RM5,000 setiap hari berikutnya akan dikenakan.  Pemaju / individu juga mungkin diminta untuk memulihkan tanah sejauh yang boleh untuk kembali kepada asal sebelum pemajuan.

Bagi mendapatkan maklumat dan penerangan dari segi perancangan, sila hubungi:-

Jabatan Perancangan  dan Pembangunan
Majlis Perbandaran Kangar, Perlis
No. 192, Persiaran Jubli Emas,
01000 Kangar, Perlis.
Tel: 04-9762188